Aku bukan pemimpin bangsa,

Tiada pingat, tiada gelar,

Tiada pangkat, tidakku rasa pijar.

Aku bukan pemimpin bangsa,

Tiada parti, tiada kroni,

Tiada kompeni, dan tiada bini besar.

Aku bukan pemimpin bangsa,

Tiada rumah, tiada harta,

Tiada menantu untuk diperkaya.

Aku bukan pemimpin bangsa,

Aku tiada uwang berjuta,

Aku tiada cawangan merata,

Aku tiada projek menggila.

Aku bukan pemimpin bangsa.

Aku tidak berdiri di depan-depan,

Mengharapkan rakyat berbelas ihsan.

Undi aku, dapat beras satu tan.

Aku bukan pemimpin bangsa,

Tidak aku jejak tangga parlimen,

Tidak aku janjikan jalan kampung bersimen,

Tidak aku pedulikan untung kerja gomen.

Aku hanya rakyat marhaen.

Aku hanya risau hutang PTPTN.

Aku hanya ada kertas dan batang pen.

Aku tulis supaya orang berfikir,

Bukan hidup senang, tak peduli fakir,

Mohon manusia buka mata, supaya bangsa celik deria,

Moga merubah apa yang ada.

Aku bukan bakal pemimpin bangsa.

Matiku nanti tak dilagukan.

Aku hanya mahu julang tinju ke awan,

mohon tuhan kembalikan keadilan.

Aku mangkin perubahan.

Revolusi dan reformasi aku jadikan mainan.

Kerana hanya orang susah akan faham erti perjuangan.